Khairat as-Syatir adalah Naib Kedua Jemaah Ikhwan Muslimin dan salah seorang dari anggota Maktab Irsyad, Ikhwan Muslimin. Dilahirkan di negeri Daqahliyah, Mesir pada 4 Mei 1950. Berumah tangga dan mempunyai sepuluh orang anak lelaki dan perempuan serta lapan orang cucu.Sesuai dengan namanya ‘Syatir’ yang bererti cerdik, beliau mempunyai kelayakan akademik dari bidang yang pelbagai. Beliau memiliki ijazah-ijazah dan diploma dalam bidang-bidang berikut: 

1. B.Sc. of Civil Engineering, Alexandria University, 1974

2. Master Degree in Construction  Management, Mansoura University, 1980

3. Diploma in Business Administration, Faculty of Commerce, Ain Shams University, 1998

4. Islamic Studies Diploma, Islamic Studies Institute, 1999

5. Diploma in Social Work and NGOs, Faculty of Economics and Political Science, Cairo University, 2000

6. Diploma in International Marketing, Faculty of Commerce, Helwan University, 2000

7. B.A from Anthropology Department, Faculty of Arts, Ain Shams University, 2002

Pernah bekerja sebagai Tutor di Universiti Mansoura sehingga dikeluarkan dari Universiti dengan arahan Anuar Sadat, Presiden Mesir ketika itu pada September 1981. Sekarang bekerja sebagai usahawan yang berjaya dan terlibat di dalam operasi beberapa syarikat dan bank di Mesir.

Mula terlibat di dalam aktivisme pelajar pada tahun 1966. Ketika itu beliau berada di hujung zaman persekolahannya. Terlibat di dalam mengasaskan gerakan pelajar di Universiti Alexandaria pada hujung 70an. Mula terlibat di dalam gerakan Ikhwan Muslimin pada tahun 1974.

Pernah dipenjarakan oleh kerajaan Mesir sebanyak empat kali sebelum ini.

1. Kali pertama adalah pada tahun 1968 di zaman rejim Jamal Abdul Nasir. Ini kerana penglibatannya di dalam demonstrasi pelajar pada November 1968. Ketika itu beliau dipenjarakan selama empat bulan, dibuang universiti dan dimasukkan di dalam kerahan tenaga di dalam tentera Mesir.

2. Kali kedua pada 1992 pada kes yang dikenali sebagai ‘Kes Salsabil’. Ketika itu beliau dipenjarakan selama setahun.

3. Kali ketiga pada tahun 1995 pada kes yang dikenali sebagai ‘Kes Ikhwan’ dan dipenjarakan selama lima tahun setelah dibicarakan di Mahkamah Tentera.

4. Kali keempat pada tahun 2001 untuk tempoh setahun.

Beliau juga pernah cuba untuk ditahan pada tahun 1981 tetapi terlepas kerana pada ketika itu beliau berada di luar Mesir.

Mempunyai pengalaman yang luas di dalam dakwah terutamanya pada medan pelajar, tarbiah dan pengurusan organisasi dakwah. Pernah tinggal di beberapa buah negara, luar Mesir selama beberapa tahun iaitu Yaman, Jordan, Arab Saudi dan United Kingdom. Menjadi anggota Maktab Irsyad sejak tahun 1995 sehingga ke hari ini.

Pada 12 Disember 2006, beliau sekali lagi ditahan bersama-sama dengan 39 pimpinan dan ahli Ikhwan yang lain di atas dakwaan ‘penyeludupan dan pembersihan wang (money laundering)’ dan ‘cubaan menghidupkan semula organisasi yang telah diharamkan’. Dakwaan yang sepatutnya dibicarakan di mahkamah biasa kemudiannya ditukar ke Mahkamah Tentera pada 6 Februari 2007 dan mereka tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Setelah ditahan selama beberapa bulan, akhirnya barulah mereka dibicarakan pada 26 April yang lepas di Mahkamah Tentera. Perbicaraan yang tidak dijalankan secara adil dan sempurna itu kemudiaannya ditangguhkan kepada perbicaraan kedua pada 3 Jun 2007 yang akan datang. Siri-siri perbicaraan ini dijangka akan berterusan seperti mana yang berlaku sebelum ini pada perbicaraan 88 pimpinan Ikhwan Muslimin pada tahun 1995.

 

Selepas penangkapan Khairat as-Syatir dan 39 pimpinan dan ahli Ikhwan, beberapa lagi siri penangkapan dilakukan oleh kerajaan Mesir sehingga mencecah bilangan yang ditangkap melebihi 1000 orang pimpinan dan ahli Ikhwan. Mereka juga mengalami nasib yang sama; dibicarakan secara tidak adil dan tidak sempurna serta sentiasa ditangguh-tangguhkan perbicaraan tersebut atas alasan yang pelbagai. Apa yang lebih malang dari itu adalah siri penangkapan ini juga disusuli dengan penutupan dan rampasan harta, kedai-kedai dan syarikat-syarikat milik mereka yang mengakibatkan ribuan rakyat Mesir kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Berikut dilampirkan satu surat yang ditulis oleh seorang anggota Ikhwan Muslimin yang ditujukan kepada Khairat as-Syatir pada 2 Mei 2007. Moga-moga akan menjadi pendorong semangat untuk kita mencontohi kecekalan mereka di dalam dakwah ini. Moga-moga Allah akan melepaskan mereka dari segala ujian ini dengan kesudahan yang baik dan menguntungkan umat.

Saudara yang saya kasihi dan guru yang mulia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saya berasa cukup pedih mendengar penipuan dan cerita-cerita reka yang ditujukan kepada peribadi saudara. Penipuan ini datangnya dari manusia-manusia yang paling lembut kita sifatkan mereka sebagai  manusia yang sakit hati dan rosak akal. Kita minta moga-moga Allah akan memberikan kepada kita keselamatan di dalam agama kita, di dunia dan di akhirat.Saya berasa cukup tertekan, marah dan sedih terhadap mereka. Ketika saya membaca sebuah buku, saya mendapati beberapa ma’ani yang cukup indah. Ia menghilangkan tekanan yang saya tanggung. Saya suka untuk berkongsi ma’ani tersebut dengan saudara dan guru saya yang saya cintai. Moga-moga ia akan memberikan kegembiraan kepada saudara dan saudara-saudara kita yang lain.

1. Orang-orang yang dungu itu mereka mencela Pencipta dan Pemberi rezeki. Mereka menghina Tuhan Yang Esa yang tidak ada Tuhan selain dariNya. Apa yang kita jangkakan akan berlaku kepada mereka?

2. Di dalam kehidupan ini, saudara akan menghadapi banyak kesakitan dalam pelbagai bentuk dan gambarannya selagi mana saudara menyumbang, memberi dan melakukan perubahan. Mereka tidak akan berhenti menyakiti saudara sehinggalah saudara lari masuk ke dalam lubang tanah atau mendaki tangga menuju ke langit. Adapun selagi mana saudara masih lagi berada di sisi mereka, nantikan sahajalah tindakan-tindakan mereka yang akan menyakitkan saudara. Saudara akan menangis dan hati saudara akan tergiris. Mereka marah kepada saudara kerana saudara mendahului mereka dari sudut takwa, ilmu, akhlak, harta dan kedudukan di sini manusia. Kita menganggap itu semua adalah suatu anugerah yang hebat dari Allah. Mereka menyakiti saudara agar saudara meninggalkan segala kelebihan dan nikmat Allah yang diberikan kepada saudara dan mencampakkan segala sifat-sifat terpuji dan segala ma’ani kebaikan yang saudara miliki. Jadilah seperti batu tegap dan menakutkan yang mampu menghadapi tekanan, membuktikan kewujudan dan membuktikan kemampuannya untuk terus wujud.

3. Jika saudara mendengar kata-kata mereka, akan tercapailah matlamat mereka untuk mengotorkan kehidupan saudara. Mohonkan kemaafan. Palingkan diri dari mereka. Jangan sekali-kali berasa sempit terhadap apa yang rancang. Celaan gila mereka terhadap diri saudara adalah satu penterjemahan penghormatan terhadap saudara. Sehebat mana kedudukan saudara di sisi mereka, sebesar itulah celaan, pendustaan dan rekaan yang akan mereka lemparkan.

4. Allah mencipta makhluk agar mereka berzikir kepadaNya. Allah mengurniakan nikmat kepada manusia agar mereka mensyukuriNya. Tetapi ramai yang menyembah selain Allah dan ramai juga yang berterima kasih kepada selain Allah. Jadi janganlah sekali-kali terkejut jika melihat mereka tidak berterimakasih terhadap jasa saudara kepada mereka, memadamkan segala kebaikan saudara dan melupai sumbangan saudara. Jangan terkejut jika mereka mengisytiharkan permusuhan dan melemparkan api kedengkian yang mendalam terhadap saudara. Mereka tidak lakukan semua itu kecuali kerana saudara berbuat baik kepada mereka. “dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!” (Al-Buruj: 8). Jangan sekali-kali berasa kecewa terhadap apa yang mereka lakukan.

5. Kekasih-kekasih Allah yang diuji dengan ujian akan ditempatkan di dalam syurga Firdaus. “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Ar-Ra’d: 24) “mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Al-Baqarah: 157)

6. Allah berfirman: “mereka tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah Dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.” (Ali Imran: 111). “jangan sekali-kali kamu berasa sempit terhadap apa yang mereka lakukan.” (Al-Nahl: 157). “dan janganlah Engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).” (Al-Ahzab: 48)

Seorang penyair berkata:
“Apakah yang akan memudharatkan laut yang luas
sekiranya hanya seorang budak yang membalingnya dengan batu?”

7. Jangan sekali-kali bersedih kerana Allah akan membela saudara, malaikat akan memohon keampunan buat saudara, orang-orang yang beriman akan mendoakan saudara di setiap solat mereka dan Nabi s.a.w. akan memberikan syafaat buat saudara. “Allah akan membela orang-orang yang beriman. Allah tidak menyukai golongan yang mengkhianati dan kufur.” (Al-Hajj)

8. Jangan sekali-kali bersedih. Sabar menanggung kesukaran adalah jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan. “Bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah Yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.” (Yusof: 18). “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Ar-Ra’d: 24)

9. Jangan sekali-kali bersedih dengan cacian manusia yang bathil dan hasad. Sesungguhnya saudara akan mendapat pahala di atas kesabaran saudara. “dan (dengan Yang demikian) bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana Sesungguhnya Engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan kami” (At-Tur: 48)

Seorang penyair berkata:
“Apabila seorang pemuda, kemuliannya tinggi mencecah langit
Jadilah ia dalam golongan bintang-bintang yang berbaris
Mereka memanahnya dengan panah dengan penuh kekuatan
Apa yang mereka lakukan (anak panah) itu tidak sekali pun mengenainya”

10. Kemanisan ganjaran ujian melupakan kita keperitannya. Tahniah diucapkan kepada saudara atas ganjaran yang agong dan pahala yang besar dari Allah yang Maha Perkasa. Manusia yang paling berat diuji adalah para Nabi kemudian martabat seterusnya dan martabat seterusnya. Begitulah saudara pada tanggapan kami dan kami tidak sekali-kali memuji manusia melebihi pujian terhadap Allah.

Saudara yang dikasihi,

Ketahuilah bahawa saudara di sisi kami adalah manusia mulia dari keturunan yang mulia, manusia yang amanah dari keturunan yang amanah, manusia berakhlak dari keturunan yang berakhlak dan manusia yang suci dari keturunan yang suci. Kami tidak pernah melihat dari saudara selain kebaikan. Persaksian ini kami berikan di hadapan Allah dan Allah menjadi saksinya.

Saudara yang dikasihi,

Alangkah indah apa yang diajarkan kepada kita oleh generasi sebelum kita:
“Sesiapa yang menjual dirinya kepada Allah, tidak ada kemampuan ke atasnya oleh sesiapa sahaja yang ingin menyakitinya.”

Saudaramu