0275.jpg 

Orang dakwah bila bercakap akan bercakap perkara besar. Mereka tak suka bercakap perkara-perkara kecil. Isu mereka isu negara, isu undang-undang, isu akta, isu sistem, isu masyarakat, isu kesatuan dan lain-lain isu lagi. Masalah-masalah kecil mereka tak minat sangat. Tengok-tengok juga tapi taklah sampai habis kudrat kat situ. Jadi mereka serius dan bersungguh dalam berfikir dan bertindak. Ini satu jenis.

Ada satu jenis lagi. Lain sikit dari yang atas. Mereka ada idealisme yang mereka nak capai. Besarnya idealisme mereka tu. Tapi mereka suka buat benda-benda kecil. Mereka kata mereka nak bangunkan kehidupan Islam tapi apa yang mereka buat taklah nampak menghala ke situ. Ini jenis yang berbeza dengan yang atas.

Ada satu lagi jenis yang lebih parah dari jenis yang kedua ni. Mereka ni dari awal lagi memang tak nak fikir sangat isu-isu besar. Tawakal mereka tinggi. Kalau iman kita dapat jaga, dunia akan berubah. Segala perubahan di tangan Allah. Allah berhak memberikan kemenangan dalam bentuk yang Dia kehendaki.

Hmmm…

Inilah sebenarnya masalah kita sekarang ni. Kadang-kadang kita tak perasan apa yang kita lakukan sebenarnya taklah tepat sangat menuju kepada apa yang kita nak capai. Kita cakap lain, kita buat benda lain. Matlamat yang kita laungkan tak sama dengan usaha yang kita lakukan.

Padan ke usaha kita tu?

Apa yang akan mengukur usaha yang kita lakukan betul-betul menuju ke matlamat yang besar tu sebenarnya?

Dalam isu selain dari dakwah mungkin mudah sikit kita nak ukur. Dalam bab study ke, bab kerjaya ke dan lain-lain. Mudah, mungkin sebab matlamat yang kita nak kejar tu mudah nak dinilai. Kejayaan study, dapat result yang cemerlang. Kejayaan dalam kerjaya, dapat naik pangkat atau kenaikan gaji atau paling tak pun boss sayang. Bila matlamat jelas dan modelnya pun ada, mudahlah kita nak kejar. Usaha yang kita buat pun, dari awal lagi kita boleh ukur dapat capai matlamat tu atau tak. Kalau rasa dapat capai, kita teruskan. Kalau rasa tak dapat capai, kita buat langkah baru.

Tapi dalam dakwah, ianya tak semudah itu. Matlamat yang kita nak capai ni jelas dari sudut pernyataan tapi kelabu dari sudut gambarannya. Kalau kita kata nak bina tamadun Islam, macam mana tamadun Islam tu? Kekuasaan politik sahajakah yang dimaksudkan? Pencapaian ilmu ke yang dimaksudkan? Kekayaan ke yang dimaksudkan? Cara berpakaian ke yang dimaksudkan? Macam mana agaknya ‘muka’ orang Islam masa tu? Semua sepesen ke macam mana? Kehidupan baru Islam. Lagi kelabu rasanya tu. Kat mana nak letak Akademi Fantasia? Kat mana nak letak World Cup? Kita nak buat apa dengan Litar Sepang? Bagi kat JPJ, tukar jadi tempat test lesen memandu? Maidin jadi pusat membeli belah lelaki dan Giant jadi pusat membeli belah untuk kaum Hawa? Radio Era, Sinar FM, Hot FM, THR, Minnal, 888, Fly FM dan sebagainya serahkan semuanya pada Ustaz Zamri Hj. Zainal Abidin kat Ikim.FM?

Mari kita berkhayal sekejap. Apa yang kita nak capai sebenarnya? Mari kita main pejam-pejam mata. Tak boring sangat insyaAllah.

Pukul berapa mula aktiviti orang ramai masa tu? Pukul 7 pagi? Ke macam McDonald, pukul 4 pagi dah jual sarapan pagi?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Rumah kita sendiri macam mana? Aktiviti rumah untuk keluarga kita semua sekali mula pukul berapa?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Macam mana keadaan masjid masa tu? Solat Subuh, berapa ramai orang lelaki yang ke masjid? Agaknya susah tak nak parking kereta macam solat Jumaat?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Bila kita keluar rumah pergi kerja, macam mana caranya orang berjalan di atas jalan raya? Baju mereka? Gaya mereka? Bertegur sapa tak? Kalau jalan sesak, orang ramai bertolak ansur tak? Masa naik LRT berebut tak? Motor cilok-cilok ada juga ke?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Sampai kat tempat kerja kita, macam mana agaknya gaya pekerja-pekerja lain di situ? Radio apa yang kedengaran di tempat kerja?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Sarapan dengan rakan-rakan di tempat kerja. Masa sarapan tu isu apa yang hangat dibincangkan? Kes Altantuya ke? Berita M. Rajoli kena pukau ke?

Pejam mata ….. khayalkan ….

Banyak lagi yang boleh kita khayalkan. Dari sekecil-kecil suasana sampailah ke situasi yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Industri muzik dan hiburan, bagaimana bentuk yang kita mahu? Agihan kekayaan hasil bumi kita, bagaimana sepatutnya ia berlaku? Sistem pendidikan bagaimana yang kita harapkan? Perdagangan antarabangsa, bagaimana bentuk yang kita mahu? Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bagaimana fungsi yang kita mahu dimainkan? Kesudahan di Palestin? Dan banyak lagi.

Apa yang kita khayalkan akan menentukan apa yang kita akan lakukan. Kita mungkin tak begitu sedar rupa-rupanya sebahagian dari orang dakwah ni khayal dia kecil sahaja sebenarnya. Ini memberi kesan kepada tindakan dia. Orang yang berdakwah ni dahlah sedikit, khayal pula tak sama saiz. Cuba kita fikirkan betul-betul, berapa persen dari kalangan umat Islam yang terlibat dengan dakwah? Tak kiralah samada dengan parti politik atau NGO. Kiralah sekali yang aktif di jawatankuasa penduduk, surau, masjid dan pendakwah-pendakwah bebas. Kemudian yang terlibat dengan dakwah ni pula, tolak yang jadi ‘ahli kehormat dakwah’, ‘pencen awal’ dan yang jadi qudama’ sebelum sampai masanya. Tinggallah beberapa kerat yang ke sana ke mari terkejar-kejar. Larat ke nak buat perubahan tu?

Maksud taghyir

Dalam hadis, kalimah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah taghyir. Ia bermaksud mengubah. Jadi apa yang diminta adalah perubahan yang hakiki.

Kita kena tanya balik diri kita, apa yang kita buat selama ni sebenarnya? Adakah sekadar laungan, cadangan dan komen-komen atau kita memang mengubah. Tak semua laungan walau pun lantang akan memberi perubahan. Tidak semua cadangan juga walau pun bernas akan mengubah. Komen-komen pun begitu juga; kita lepaskan, kita rasa puas, tapi perubahan tetap tak berlaku.

Menilai semula usaha yang dilakukan dengan perubahan yang berlaku itu perlu kita lakukan. Paling tidak sekali dalam lima tahun. Perubahan dalam kehidupan umat memang ambil masa yang lama untuk dinilai. Tak adil juga kalau hari ni berdakwah, tahun depan kita nak nilai. Bagi masa sikit, tapi jangan lama sangat.

Antara fasa sedar dan fasa bangkit

Malaysia satu ketika dahulu berada jauh ke belakang dari sudut kesedaran Islam. Samalah macam negara-negara dunia ketiga lain yang baru terlepas dari era penjajahan ketenteraan dan politik Barat. Pada masa itu pakaian ustazah Melayu di Universiti al-Azhar tidak jauh beza dengan pakaian artis pop yeh yeh. Ustazah pun pakai cermin mata ‘mata kucing’.

Dengan rahmat Allah, pendakwah-pendakwah Islam mula membanjiri Malaysia pada hujung 70an. Usaha-usaha memberi kesedaran Islam berlaku dengan begitu giat. Pada masa itu ada parti politik yang bertukar imej menjadi haraki + siasi. Rakyat lebih senang dan selesa dengan imej baru itu dan terkesan dengan idea-idea dan slogan-slogan yang dilontarkan.

Orang ramai ada juga yang berkumpul untuk membina kehidupan Islam dalam bentuk yang mereka fahami. Selain dari kumpulan Islam yang kita sama-sama kenali, sebenarnya wujud lagi kumpulan lain yang tidak begitu terkenal membuat perkampungan Islam untuk menjaga kehidupan Islam mereka. Mereka sayang kesedaran baru itu. Mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan kesedaran itu tidak dicemari. Walau pun duduk di rumah yang dibina dengan kos kurang dari RM300, mereka tak kisah.

Buku-buku fikrah dan dakwah mendapat tempat dalam masyarakat. Pada tahun 80an, buku tulisan pemimpin Ikhwan banyak yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Permintaan untuk buku-buku ini boleh tahan juga. Nasyid-nasyid Islam walau pun tak sedap sangat macam ‘lagu dakwah’ sekarang mempunyai peminat-peminatnya sendiri.

Orang ramai mula berfikir kembali tentang keadaan mereka. Arus kesedaran ini dapat dirasai oleh sesiapa sahaja. Sesiapa yang melawan arus kesedaran ini akan dipandang serong. Mungkin itu jugalah yang menyebabkan perubahan uslub dan pendekatan sesetengah pihak yang tidak suka dengan arus ini. Kalau sebelum ini, terang-terangan berkata tidak boleh hudud di Malaysia, sekarang ni bahasanya berubah; Islam sebenar bukan macam Islam ###. Yang ni bukan topik kita sekarang. Di lain artikel kita boleh ulas.

Isu yang nak kita bincangkan sekarang adalah tentang fasa kesedaran itu sendiri. Fasa kesedaran adalah satu fasa dalam fasa-fasa dakwah. Aktiviti pada fasa ini mungkin banyak berkisar pada ceramah, forum, penulisan, dialog dan kempen. Ia adalah fasa permulaan. Dari situ kita boleh lakukan taghyir yang kita mahukan. Kita nak orang berubah, kita kena sedarkan dia dulu. Jadi kita goncang dia, urut belakang dia, picit kaki dia dan tarik tangan dia sampai dia sedar dari tidur. Lepas tu?

‘Lepas tu’ ni yang jadi masalah sikit. Fasa sedar sepatutnya tak boleh terlalu lama. Fasa bangkit sepatutnya menyusul. Bila lama sangat dia sedar tapi tak pimpin tangan dia ke bilik air, pastikan dia mandi, pastikan dia salin pakaian dan bersedia untuk bangkit dan cergas buat kerja, akhirnya dia akan tidur balik. Kalau tadi tidur baring, kali ni dia akan tidur sambil duduk.

Nak isi fasa bangkit, tidak lagi sama pendekatannya dengan fasa sedar. Kemahiran dah kena tambah. Usaha juga kena ditingkatkan. Harakah kena lebih banyak. Model-model Islam dalam pelbagai bidang; projek ekonomi, projek kebajikan, penonjolan tokoh, pusat-pusat aktiviti remaja, dana takaful umat, pusat kaunseling keluarga bahagia, pusat rekreasi dan hiburan Islam dan sebagainya perlu diwujudkan untuk mengisi kesedaran tersebut.

Kesedaran yang sudah pun ada pada umat Islam sepatutnya diisi 15 tahun lepas kerana kesedaran itu sudah pun wujud dengan baik pada akhir 80an. Aktiviti-aktiviti perlu dirancang untuk membawa perubahan yang hakiki. Fasa sebelum ini berjaya membina makrifah (pengetahuan) dan mencetuskan idea kesedaran di dalam pemikiran umat Islam. Cabaran seterusnya adalah pada suluk (perlakuan). Itulah perubahan yang sebenar dan itulah yang kita perlu lakukan jika kita bersungguh dalam menyatakan matlamat kita.

Oleh kerana pendakwah Islam lambat mengisi fasa seterusnya, masyarakat Islam yang semakin hari semakin berumur terkesan dengan banyak perkara lain. Akhirnya satu demi satu buah-buah kesedaran itu gugur dari pemikiran. Berubah dengan berlalunya masa. Berubah kerana tidak nampak apa bentuk perubahan yang sepatutnya berlaku. Berubah kerana terkesan dengan tuntutan kehidupan dan arus dunia yang boleh mematikan semangat dan iman seseorang dengan usapan yang lembut dan panjang.

Putaran masa

Sekarang Malaysia sekali lagi berputar balik ke era 80an. Kelesuan dakwah pada 90an sekarang ini nampaknya akan berakhir. Wallahu a’lam tepat atau tidak pandangan ini. Tetapi itulah yang kami rasakan berdasarkan bilangan mahasiswa yang bersemangat samada di dalam negara atau di luar negara, laman-laman web Islam yang memberikan saham di dalam memberikan kesedaran untuk kembali kepada kegemilangan Islam di zaman silam, tokoh-tokoh dakwah yang muncul dalam bentuk yang pelbagai, persepakatan antara badan-badan Islam yang semakin rancak dilakukan, buku-buku fikrah yang mula dicetak semula, sambutan forum-forum Islam, bilangan yang menunaikan haji dan umrah, pakej-pakej percutian ke negara-negara yang mempunyai sejarah Islam, bilangan sukarelawan di dalam amal-amal kebajikan dalam negara dan antarabangsa.

Cabaran sekarang adalah untuk mengisi kesedaran itu. Jangan nanti kita sedap bercakap bab dakwah, tapi tanpa kita sedari yang kita isi hanyalah menambah kesedaran dan bukannya usaha untuk membawa umat ke arah perubahan itu sendiri. Kita rasa banyak dah yang kita buat, rupanya saham untuk perubahan itu sedikit sahaja kita berikan. Bercakap sampai kering tekak dan menulis sampai habis idea. Rupanya wasilah tak kena dengan matlamat.

Apa yang perlu kita fikirkan dengan kuat sekarang adalah keberanian kita untuk keluar dan mempamerkan perubahan itu di alam nyata. Bina kemahiran kita hingga kita betul-betul mampu mengubah. Samada kemahiran bercakap, kemahiran menulis, kemahiran menjayakan projek-projek dakwah (projek ekonomi, projek kebajikan, penonjolan tokoh, pusat-pusat aktiviti remaja, dana takaful umat, pusat kaunseling keluarga bahagia, pusat rekreasi dan hiburan Islam dan sebagainya), kemahiran berdialog dengan pelbagai pihak dan macam-macam lagi kemahiran yang lain.

Jangan hadkan aktiviti kita hanya pada aktiviti tafaquh, hari keluarga sesama pendakwah dan ahli keluarga, tahajud bersama, ziarah-ziarah, jaulah seluruh Malaysia menaiki van yang pelbagai bentuk, candat sotong dengan riangnya di Terengganu, makan durian berjemaah kat Gerik dan sewa bot untuk satu sesi memancing yang menghiburkan di Kuala Selangor.

Semua pendakwah perlu menyediakan diri untuk fasa yang semakin hampir ini. Susun balik tenaga kerja dan ingat balik matlamat terakhir yang nak dicapai. Perjalanan masih jauh. Jangan terpesona dengan sedikit pencapaian dan kita rasa kita dah buat banyak perkara. Setiap kejayaan akan berlaku berdasarkan sunnah sebab musabbab. Usaha dan matlamat mesti setara. Usaha kecil, kejayaan kecil. Usaha besar, kejayaan besar. Matlamat besar sampai bila pun tidak akan dicapai dengan usaha kecil.

Jangan nanti orang ramai melabelkan pendakwah: “Mereka ni matlamat sahaja yang besar. Buat kerja runcit-runcit bolehlah.”