Esok (10 Julai 2009) saya dijemput untuk membentangkan tajuk di atas dalam Seminar anjuran JAKIM di Masjid Wilayah. Saya kongsikan kertas kerja yang akan saya bentangkan esok di sini.
—–
Penyalahgunaan Dadah:
Isu Globalisasi Antara Realiti dan Penyelesaian
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni,
Naib Presiden II
Ikatan Muslimin Malaysia
Pendahuluan
Mencari satu formula untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia nampaknya tidak semudah yang dibayangkan. Dengan angka yang menunjukkan peratus yang tinggi bagi kes berulang, sikap dan pandangan segelintir masyarakat terhadap penagih-penagih dadah, kesungguhan sebahagian penagih sendiri untuk kembali menjalani kehidupan normal; semuanya itu menjadikan isu ini tidak mudah.
Kelebihan Malaysia di sudut ini mungkin agak menonjol dari sudut akta dan perundangan. Hukuman mati mandatori yang dikenakan ke atas pengedar dadah sedikit sebanyak dapat membendung gejala ini dari sampai ke tahap yang lebih kronik seperti yang berlaku sekarang ini di beberapa negara di Barat.
Hukum Islam di dalam penyalahgunaan dadah amat jelas. Ramai ulamak dan badan-badan fatwa yang telah mengeluarkan fatwa pengharaman penyalahgunaan dadah. Tanpa perlu diulang, masyarakat kita juga telah terdidik dengan beberapa istilah terhadap dadah yang menunjukkan kehinaan penyalahlakunya. Ini memberi gambaran tentang penolakan masyarakat Malaysia secara umumnya terhadap penyalahgunaan dadah.
Dadah Sebagai Isu Global
Kini dadah sudah menjadi masalah global. Beberapa badan dunia berkenaan dadah telah ditubuhkan dan masing-masing memainkan peranan masing-masing. Ini termasuklah badan yang diselia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti United Nation on Drug and Crime (UNODC), The Commision on Narcotic Drugs (CND) dan World Health Organization (WHO).
Di samping penubuhan badan-badan dunia, kerjasama di antara pihak keselamatan antara negara juga berlaku di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mengambil bahagian di dalam ‘International Narcotics Joint Operation’ sehingga pernah mendapat penghargaan dari PBB. Penghargaan kepada Malaysia juga pernah diberikan oleh pihak berkuasa Drug Enforcement Administration – United States Department of Justice ‘For Outstanding Contribution In The Field Of Drug Law Enforcement’.
Modus operandi pengedaran dadah juga menunjukkan pengedarnya mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa. Sebahagian dari wanita Malaysia juga menjadi mangsa penipuan sindiket antarabangsa tersebut. Azura Maizura Alias, 21, dari Pulau Pangkor, Perak dan Dayang Sakienah Mat Lazim, 20, dari Bukit Payung, Terengganu, mendakwa mereka dibawa ke Madrid oleh tiga lelaki warga Afrika dan seorang wanita tempatan, kemudian dipaksa menghantar dadah ke negara tertentu . Kes sama juga pernah dilaporkan membabitkan remaja tempatan, Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, kini menghadapi hukuman penjara tujuh tahun di Jepun kerana mengedar syabu seberat 690 gram. Pelajar komunikasi massa Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya ini diberkas di Lapangan Terbang Tokyo pada 2006 dan mengaku bersalah. Selain itu, pelajar Universiti Malaysia Sabah, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Kelantan menghadapi hukuman mati kerana menyeludup tiga kilogram (kg) heroin. Dia diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Shantou, China.
Penagih dadah pula ada di mana-mana di seluruh dunia. Mereka terdiri dari manusia pelbagai kelas; dari seorang buruh dan petani kepada seorang cendekiawan, hartawan dan selebriti bertaraf dunia.
Persoalannya; mampukah dunia benar-benar bebas dari dadah?
Pendidikan Keluarga dan Masyarakat
Islam meletakkan keluarga sebagai unit kecil di dalam masyarakat. Asas kepada pembinaan seorang insan adalah ibu bapanya. Begitulah yang diungkapkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Sebahagian dari kes penagihan berpunca dari kepincangan dan pergolakan di dalam rumahtangga. Kecewa dengan sikap ibu dan ayah membawa si anak ke kancah penagihan. Suasana di dalam masyarakat dan rakan-rakan sebaya juga sedikit sebanyak menyumbang ke arah ini.
Di sini kita dapati Islam menekankan aspek pencegahan dari awal lagi. Sistem pendidikan keluarga dan masyarakat Islam menjaga anak-anak yang membesar dari terjebak ke dalam kancah penagihan. Berikut didatangkan beberapa contoh sistem Islam yang jika dipraktikkan mampu melahirkan generasi yang bebas dari dadah dan apa juga gejala sumbang.
1. Rumahtangga dibina di atas iman dan komitmen kedua-dua suami isteri untuk membentuk suasana kondusif bagi melahirkan generasi bertakwa.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum: 21)
2. Pendidikan anak-anak yang bermula sejak kecil. Dengan itu mereka akan membesar dalam suasana taat dan patuh kepada Allah.
“Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan sembahyang ketika mereka berusia sepuluh tahun. Pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka.” (Riwayat Abu Daud)
3. Suasana rumah dan persekitaran yang baik untuk tumbesaran anak-anak. Suasana yang baik ini menjadikan slogan ‘rumahku syurgaku’ sebagai kenyataan lalu anak-anak tidak akan mencari kepuasan hidup di luar.
“Empat dari kebahagian; isteri yang solehah, jiran yang baik, rumah yang luas dan tunggangan yang selesa.”
4. Budaya tegur menegur kesalahan dan berlumba di dalam kebaikan di dalam masyarakat.
“Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar); mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.” (Aali Imran: 113-114)
Banyak lagi ayat-ayat dan hadis yang lain menunjukkan kepada kita bagaimana praktik Islam mampu mewujudkan suasana yang berbeza dengan apa yang dihadapi oleh dunia pada hari ini.
Mengambil Berat Generasi Muda
Julat umur yang paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah adalah pada usia remaja dan belia. Usia ini adalah usia keemasan yang perlu diisi dengan aktiviti-aktiviti sihat dan membina. Ia juga adalah usia kritikal yang akan menentukan arah dan hala tuju hidup seseorang manusia selepas itu.
Sejauh manakah seriusnya kita dalam pendidikan generasi muda?
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun hampir mencecah ke setengah juga orang. Calon SPM bagi tahun 2008 adalah seramai 442,936 orang calon. Seramai 10,800 mendapat 10A, 5,863 mendapat 9A dan 5,909 mendapat 8A. 347,443 berjaya mendapat sijil. Bakinya seramai 95,493 tidak berjaya mendapat sijil SPM.
Keistimewaan sering diberikan kepada generasi yang berjaya dengan cemerlang di dalam SPM. Tanpa kita sedari pelajar yang kurang bernasib baik di dalam SPM jika tidak dibimbing dengan baik bakal mencetuskan pelbagai masalah di dalam negara.
Remaja di bangku sekolah menghadapi kekeliruan identiti. Terlalu mudah untuk mereka dipengaruhi oleh unsur-unsur luar di dalam menentukan unjuran masa depan mereka. Mereka agak berkerenah dan beremosi, menjadikan usaha mendekati dan membimbing kelompok di usia tersebut agak sukar bagi sesetengah pendidik. Mereka juga di tahap usia tersebut ingin mencuba pelbagai perkara baru di dalam hidup.
Faktor yang lebih merumitkan suasana; remaja di usia ini tidak lagi mahu dikongkong oleh ibu bapa dan keluarga. Benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh generasi silam:
“Bermainlah dengan anak-anak sehingga mereka berusia tujuh tahun. Didiklah mereka dengan adab Islam tujuh tahun berikutnya. Gaulkan mereka dengan masyarakat pada tujuh tahun berikutnya.”
Dengan itu satu usaha menyeluruh perlu dimainkan oleh semua pihak di dalam membimbing remaja di usia ini. Kita perlu mengembeling segala potensi dan badan yang wujud di dalam masyarakat; dari sekecil-kecil badan seperti Jawatan Kuasa Penduduk atau Jawatankuasa Surau kepada sebesar-besar badan di peringkat Kementerian.
Menerus Usaha Merawat Gejala Sedia Ada
Cadangan-cadangan di atas tidak menafikan keperluan merawat gejala penyalahgunaan dadah sedia ada hari ini. Undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Malaysia sudah cukup baik. Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 – (Pindaan) 1998, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Hak Harta) 1998 dilihat sebagai akta-akta yang baik.
Negara memiliki Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), 28 buah Pusat Serenti yang mampu menampung 15,000 penghuni dan beberapa badan swasta seperti PENGASIH. Di samping itu negara kita kaya dengan NGO-NGO Islam, badan-badan dan individu-individu yang perihatin terhadap permasalahan yang menimpa umat. Ini semua adalah aset negara untuk membenteras dan merawat isu ini.
Tetapi bilangan penagih yang sentiasa meningkat akan menyebabkan negara berbelanja lebih besar untuk isu penyalahgunaan dadah oleh rakyat Malaysia. Sejak tahun 1988 hingga 2002 seramai 235,495 orang penagih telah dikenalpasti. Sejak itu bilangan mereka terus bertambah sedikit demi sedikit. Usaha merawat gejala ini perlu diteruskan dan tahap kemampuan setiap agensi, badan dan individu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
Penutup
Meneruskan usaha merawat dan membenteras perlu diteruskan di samping satu program jangka panjang perlu difikirkan dari sekarang agar suasana akan lebih baik dari hari ke hari.
Jenayah penyalahgunaan dadah akan sentiasa mengheret bersamanya banyak lagi jenayah-jenayah yang lain. Masalah dadah tidak datang bersendirian sebaliknya ia datang dengan seribu masalah lain dari pelbagai aspek.
Kita amat berharap Malaysia tidak akan mengikuti jejak langkah beberapa negara di Barat yang sudah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan rakyatnya sehingga terpaksa mengiktirafnya sebagai hak individu.
Kepada Allah kita serahkan segala usaha kita dan kepadaNyalah kita mohon agar negara ini akan bertambah makmur dan berkat
July 9, 2009 at 7:59 am
salam
cantik kertas kerja ust..
padat isinya..
dapat sedikit maklumat..
tq
July 11, 2009 at 2:40 am
Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah
Ali imran : 159
Salam Ziarah~
July 29, 2009 at 11:40 am
Salam alaik :
Ustaz.terima kasih atas perkongsian yang baik dalam blog ustaz. Begini, saya ada satu pertanyaan. inginkan jawapan pada mereka yang mengatakan ini :
Tentang politik dan dakwah? apa pandangan Isma tentang politik? kemudian suara yang mengatakan isma mengasingkan politik dan dakwah ?
Boleh ustaz beri penjelasan mengenai keadaan ini secara terperinci?
Boleh ke email saya : ainurdina@yahoo.com
August 8, 2009 at 3:27 am
salam. tahniah ustaz. tahniah kerana ISMA mula dijemput dan tahniah kerana kertas kerja yg baik. Sedikit tambahan kalau perlu dipertimbang.. point2 tentang Globalisasi perlu dikupas sikit lagi supaya tidak hanya menjadi masalah tempatan. Kalau ada data2 peratus penagihan dadah di negara2 besar dan usaha2 mereka mengawal – sejauh mana keberkesanan? Akhirnya kena kembali kepada formula yg ustaz sebut di atas. allahu a’lam.
August 8, 2009 at 7:56 am
Salam ustaz,
Nak tanya. Ni agak lari tp berkaitan dgn mknan halal. Ada kajian yg mendedhkan syubhah pd mknan. Byk sgt. Antaranya susu tepung bayi, dan mcm2 susu tepung lg. Saya seorang ibu yang makin krg susu badan dan akhirnya saya beri juga anak saya minum susu tepung wpn ada rasa terkilan. Saya pun dh kurang minum susu tepung lacta utk ibu menyusu sbb rasa x tenang bila memikirkan benda pelik dlm susu. tp, ada masa terasa sbb krg minum susu lacta, kurang hasilkan susu. Jadi, apa pendapat ustaz berkaitan dgn mknan halal ni..
August 12, 2009 at 3:05 am
so completed yo assignment sir !!!
i get more information..
alhamdulillah..
shukkronjazilan..
August 15, 2009 at 4:22 am
saya cadangkan ust buat terus kajian tentang pedagogi tarbiyyah yang detel dalam agama Islam
August 26, 2009 at 1:46 am
gila….